Saturday, May 5, 2012

Orang Berjaya Mencari Jalan, Orang Gagal Mencari Alasan


Betapa peri pentingnya manusia sesama manusia itu bergaul. Masakan boleh hidup seorang? Tarzan di hutan pun mencari Terk si Gorilla dan Tantor si Gajah sebagai teman. Teman penting sebagai cermin diri.

Baru sahaja berborak dengan seorang teman yang bukan calang-calang orangnya. Dalam borak itu ada isi. Dia mengajar saya satu rahsia orang berjaya. Dia orang berjaya, maka saya ambil nasihat dia.

Katanya "...yang membezakan orang berjaya dengan yang tidak ialah kemahiran menyelesaikan masalah". Ringkas tapi penuh makna. 

Saya ada bersahabat dengan orang-orang yang sentiasa mencari jalan untuk mencapai hasrat mereka. Mereka memang tekun, fokus dan sangat berdedikasi dalam mencapai matlamat mereka. Halangan pasti ada. Namun, orang yang berjaya mesti mencari jalan bagi mengatasi halangan tersebut.  Halangan terbesar sebenarnya adalah diri sendiri. Persis pepatah melayu, 'Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih'. Mudah disebut, tak mudah dilaksana bagi orang yang tertutup mindanya.

Ada juga kawan saya yang tidak mahu bergerak kalau semuanya belum sempurna. Kejayaan itu perlu dicari. Ia tidak akan datang dengan sendiri. Kebiasaannya, kejayaan berkembang secara perlahan-lahan seperti bola salji yang menuruni bukit. Makin lama bola itu bergolek ke bawah, makin besar ia diselaputi salji. Kalau mahu tunggu sempurna, memang itu tidak akan berlaku. Kamu harus bergerak, barulah ia akan berkembang (semasa ia bergerak), kawan.

Orang yang berjaya akan sentiasa fully-utilize apa sahaja yang ada di hadapan mata mereka. Mereka sentiasa berfikir untuk mendapatkan hasil yang optima dengan menggunakan sumber yang ada semaksima mungkin. Akal perlu berfikir seperti badan perlu bersenam. Makin aktif berfikir makin tajam akal sepertimana kerapnya bersenam menghasilkan susuk tubuh yang sihat.

Carilah jalan untuk berjaya. Sebesar manapun masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesaian bagi mereka yang berfikir. Gerakkan minda, tajamkan akal. Kemahiran menyelesaikan masalah ini memerlukan latihan intensif yang istiqomah. Kalau kamu rasa seperti mahu kalah, sentiasa ingat bahawasanya kejayaan kamu ada selangkah sahaja lagi di hadapan. Tabahkan diri, kuatkan semangat. Kejayaan itu sentiasa berpihak kepada orang yang berusaha.

Bagi mereka yang masih mencari alasan, carilah satu alasan untuk kamu berubah. Pintu kejayaan senantiasa terbuka untuk orang yang mahu dan tahu merubah nasib diri. Masih ada masa untuk kamu.

No comments: